Sejarah Awal Pembukaan Kampung Ulu Cheka
Sejarah
awal pembukaan kampung bermula pada awal tahun 1880. Beberapa penduduk
dari kampung Penjom, Lalang, Kg. Pagar dan Tanjung besar telah datang ke
kampong ini, pada masa itu dikenali dengan panggilan Lata Lang. Ia
diambil sempena nama sebuah lata yang terdapat banyak burung helang
mandi disekitarnya. Mereka diketuai oleh Tok Perlom atau Tok Pandak atau
nama sebenarnya Tok Mohamad bin Osman dari kampong Lalang, Kuala Lipis.
Oleh kerana minat Tok Perlom ini suka menjelajah hutan dan sungai
kerana mencari sumbu badak. Suatu ketika beliau mudik sungai dari Batu
Balai hingga ke Lata Lang dan terus menjelajah hingga ke Sungai Pian
anak sungai Kerau dan melihat tanah pamah yang luas yang amat sesuai
untuk dibuat sawah padi. Beliau kembali semula ke kampungnya dan
bermuafakat dengan penduduk Tanjung Besar dan Jerangsang termasuk Tok
Dollah seorang pencari gading gajah dan sumbu badak bersama Tok Mat
Setam, Tok Koteh dan beberapa orang lain untuk meneroka tanah di Kuala
Pian. Setelah beberapa tahun tinggal di sana ternakan kerbau meraka
diserang penyakit hawar menyebabkan semua ternakan mereka mati. Akhirnya
mereka berpindah balik ke kampung masing-masing. Sehingga sekarang
masih terdapat kesan-kesan penerokaan mereka.
Sementara
itu pencari emas selalu mudik sungai dari batu balai ke Lata Lang.
kebanyakan mereka dari Kampung Mela dan Kerambit. Kebetulan pada masa
itu buah-buah hutan amat menjadi. Mereka mengumpul dan memakan buah
sepuas-puasnya sehingga ada diantara mereka mabuk dan muntah-muntah.
Setelah dijampi tawar bisa mabuk tetapi tidak mujarab sehinggalah salah
seorang dari mereka menjampi cika dan dengan izin Allah mabuk mereka
telah ‘betah”, mulai saat itu mereka menamakan sungai tersebut sebagai
Sungai cika. Oleh kerana peredaran masa dan loghat sebutan akhirnya
Sungai Cika bertukar menjadi Sungai Cheka. Namun nama Lata Lang masih
kekal hingga ke hari ini dan menjadi sebahagian dari kampung kecil di
dalam Kampung Ulu Cheka.
Pada awal 1907 setelah mendapat perkenan kebawah DYMM Sultan Pahang,
beberapa orang penduduk dari Tanjung Besar dan Jerangsang telah
bermuafakat mencari penempatan yang baru. Seramai 7 orang mereka telah
dititahkan oleh DYMM Sultan Pahang
ialah Tok Bugis bin Wok, Tok Antah bin Santan, Tok Pawang Nong bin
Santan, Tok Kawi bin Karim, Tok Mat Yassin bin Tok Lah, Tok Mat Lasik
bin Yop dan Tok Mat Salleh bin Yaakob. Akhirnya mereka bersetuju untuk
mudik ke Sungai Cheka. Mereka menempah perahu dari tukang perahu di
Jeram Besu dan Kampung Pagar sebanyak tujuh buah. Setelah semua bekalan
termasuk peralatan kerja disiapkan, pada awal Jun 1907 mereka menghilir
Sungai Sepan lalu mudik melalui Sungai Cheka. Dalam perjalanan mereka
singgah di kuala Sungai Rengat, Kuala Sungai Berau dan terus ke Kuala
Sungai Lipan berhampiran Lata Jin.
Dan
pada hari ahad bersamaan 07/07/1907 dengan diketuai oleh Tok Bugis
mereka memulakan upacara ‘menetam’ untuk memohon restu dari Allah dan
dijauhkan dari ganguan makhluk halus. Upacara tersebut dilakukan selepas
masuk waktu zohor. Mereka melakukan solat hajat dan doa selamat yang
dipimpin oleh Tok Mat Salleh bin Tok Lah. Mulai hari itu, mereka pun
membuka tanah dan ditanam dengan jagung dan padi huma. Apabila siap
menanam padi dan jagung mereka berpakat untuk balik ke Tanjung Besar dan
Jerangsang sementara itu, Tok Antah diberi kepercayaan untuk menjaga
tanaman mereka. Tujuan mereka pulang ialah untuk menjemput anak isteri
mereka dan antaranya isteri Tok Antah iaitu Tok Mas binti Mat Saman.
Oleh kerana semasa mereka kembali ke kampung, berlaku beberapa kematian
dan majlis perkahwinan menyebabkan mereka terlewat hampir dua bulan
untuk kembali ke Lata Lang. Sementara Tok Antah yang keseorangan, dia
memenuhkan masa lapang dengan mencari ikan yang banyak terdapat di
Sungai Berau. Pada suatu petang terdengar oleh Tok Antah seperti bunyi
orang berjalan di dalam air. Setelah diamati terlihat olehnya seorang
lelaki yang kepalanya hampir botak dan berkata kepadanya ‘Hai Antah, tak
usah risaulah, petang besok sampailah mereka ke sini’. Tepat seperti
apa yang dikatakan oleh lelaki tersebut. Pada ke esokan harinya
terdengarlah suara riuh rendah kaum keluarga mereka yang baru datang.
Mereka membawa isteri masing-masing Tok Bugis dan isterinya Tok Seripah
binti Munak, Tok Kawi – Tok Hawa binti Isa, Tok Pawang Nong – Tok Patam
binti Mat Saman, Tok Mat Yassin – Tok Awi, Tok Mat Lasik – Tok samit dan
Tok Mat Salleh – Tok Samik Yah juga isteri Tok Antah, Tok Mas binti Mat
Saman. Oleh kerana kawasan di kuala Sungai Lipan agak sempit mereka
bersetuju untuk berpindah sehingga ke Kuala Sungai Jeneris dan membuka
tanah di kawasan antara Sungai Jelai dan Sungai Jeneris dan lebih
dikenali sebagai Tanjung Kepayang.
Pada
hari seterusnya mereka memilih kawasan masing-masing untuk diterokai.
Tok Antah memilih kawasan di Kuala Sungai Berau, Tok Wok dan Tok Bugis
dari Sungai terap ke Sungai Jelai. Tok Pawang Nong di sungai Jingau, Tok
Mat Yassin di ulu sungai Jelai ke Sungai Rawis. Tok Mat Salleh di
kampung Jeneris, Tok Mat Lasik di Tanjung Puteri dan Tok Kawi di Ulu
Jeneris. Apabila tersebar berita bahawa tanah di Ulu Cheka sangat subur
dan mengeluarkan hasil yang banyak maka ramailah penduduk dari kampong
Tanjung Besar, Gua, Kemahang, Budu, Kampung Lalang, Mela dan Jerangsang
datang untuk meneroka tanah. Mereka termasuklah Tok Bilal Abu bin
Santan, adik kepada Pawang Nong, Tok Akil, Tok Akib, Tok Koteh, Tok
Hijau, Tok Imam Saat, Tok Idris, Tok Man, Tok Munak, Tok Mat Sham, Tok
kitan, Tok Itam, Tok kawi dan Tok Endut.
Penghijrahan
penduduk dari Kampung Budu pula telah diketuai oleh Tok Bebas bin Awang
dan adiknya Aki Tan bin Awang beserta sepupunya Aki Nik Man. Mereka
telah meneroka dikawasan Kampung Berau bagi membuka penempatan baru.
Bagi kawasan Kampung Bau pula telah diterokai oleh Aki Janil bin Mahusin
dari Kampung Lalang dan diikuti oleh Aki Mamat dari Kampung Gua.
Sementara dikawasan Ulu Jingau pula telah diterokai oleh Aki Mat Sham
dari Kampong Budu dan Aki Akil dari Gua dan Aki Jebah sementara di kuala
Jingau di terokai oleh Aki Bilal Abu Bin Santan. Bagi penempatan di
Kampung Jelai ianya dimulai oleh dua beradik iaitu Aki Osman bin Munak
dan Ahmad bin Munak. Di kawasan Tanjung Puteri pula telah dibuka oleh
Imam Saat dan Aki Hijau bin Loah sementara bagi Aki Abdullah bin Awang
telah mengambil kawasan Tepam sebagai penempatannya. Bagi pembukaan
tanah di kawasan Ulu Lata dan Kampung Gol pula antara yang terlibat
adalah Aki Awang bin Bugis, Aki Itam bin Petah, Aki Endut, Aki Akib, Aki
Mat Said dan Aki Semaon bin Sih.
Jika
diperhatikan kebanyakkan kawasan yang diterokai oleh mereka ini adalah
kawasan yang mempunyai kawasan bertanam padi yang agak luas bagi
menampung ahli keluarga dan juga kawasan-kawasan yang telah ditumbuhi
oleh pokok buah-buahan hutan terutamanya buah durian. Sehingga kini
kawasan tersebut terus membangun dan sebahagian besarnya masih dihuni
oleh anak cucu dari kalangan peneroka asal.
Sumber: Kitab Ulu Cheka Sejarah dan Kecemerlangan Sempena Sambutan 100 Tahun Ulu Cheka
Terima
kasih kepada Tok Empat Ulu Cheka En Nazri bin Che Husin kerana memberi
pinjam kitab dan menyalin semula artikal di dalamnya untuk dipublishkan
oleh www.anakulucheka.com sebagai sumber rujukan generasi akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan