24 Oktober 2012

Sejarah Awal Pembukaan Kampung Ulu Cheka

Sejarah awal pembukaan kampung bermula pada awal tahun 1880. Beberapa penduduk dari kampung Penjom, Lalang, Kg. Pagar dan Tanjung besar telah datang ke kampong ini, pada masa itu dikenali dengan panggilan Lata Lang. Ia diambil sempena nama sebuah lata yang terdapat banyak burung helang mandi disekitarnya. Mereka diketuai oleh Tok Perlom atau Tok Pandak atau nama sebenarnya Tok Mohamad bin Osman dari kampong Lalang, Kuala Lipis. Oleh kerana minat Tok Perlom ini suka menjelajah hutan dan sungai kerana mencari sumbu badak. Suatu ketika beliau mudik sungai dari Batu Balai hingga ke Lata Lang dan terus menjelajah hingga ke Sungai Pian anak sungai Kerau dan melihat tanah pamah yang luas yang amat sesuai untuk dibuat sawah padi. Beliau kembali semula ke kampungnya dan bermuafakat dengan penduduk Tanjung Besar dan Jerangsang termasuk Tok Dollah seorang pencari gading gajah dan sumbu badak bersama Tok Mat Setam, Tok Koteh dan beberapa orang lain untuk meneroka tanah di Kuala Pian. Setelah beberapa tahun tinggal di sana ternakan kerbau meraka diserang penyakit hawar menyebabkan semua ternakan mereka mati. Akhirnya mereka berpindah balik ke kampung masing-masing. Sehingga sekarang masih terdapat kesan-kesan penerokaan mereka.
 Sementara itu pencari emas selalu mudik sungai dari batu balai ke Lata Lang. kebanyakan mereka dari Kampung Mela dan Kerambit. Kebetulan pada masa itu buah-buah hutan amat menjadi. Mereka mengumpul dan memakan buah sepuas-puasnya sehingga ada diantara mereka mabuk dan muntah-muntah. Setelah dijampi tawar bisa mabuk tetapi tidak mujarab sehinggalah salah seorang dari mereka menjampi cika dan dengan izin Allah mabuk mereka telah ‘betah”, mulai saat itu mereka menamakan sungai tersebut sebagai Sungai cika. Oleh kerana peredaran masa dan loghat sebutan akhirnya Sungai Cika bertukar menjadi Sungai Cheka. Namun nama Lata Lang masih kekal hingga ke hari ini dan menjadi sebahagian dari kampung kecil di dalam Kampung Ulu Cheka.
Pada awal 1907 setelah mendapat perkenan kebawah DYMM Sultan Pahang, beberapa orang penduduk dari Tanjung Besar dan Jerangsang telah bermuafakat mencari penempatan yang baru. Seramai 7 orang mereka telah dititahkan oleh DYMM Sultan Pahang ialah Tok Bugis bin Wok, Tok Antah bin Santan, Tok Pawang Nong bin Santan, Tok Kawi bin Karim, Tok Mat Yassin bin Tok Lah, Tok Mat Lasik bin Yop dan Tok Mat Salleh bin Yaakob. Akhirnya mereka bersetuju untuk mudik ke Sungai Cheka. Mereka menempah perahu dari tukang perahu di Jeram Besu dan Kampung Pagar sebanyak tujuh buah. Setelah semua bekalan termasuk peralatan kerja disiapkan, pada awal Jun 1907 mereka menghilir Sungai Sepan lalu mudik melalui Sungai Cheka. Dalam perjalanan mereka singgah di kuala Sungai Rengat, Kuala Sungai Berau dan terus ke Kuala Sungai Lipan berhampiran Lata Jin.
Dan pada hari ahad bersamaan 07/07/1907 dengan diketuai oleh Tok Bugis mereka memulakan upacara ‘menetam’ untuk memohon restu dari Allah dan dijauhkan dari ganguan makhluk halus. Upacara tersebut dilakukan selepas masuk waktu zohor. Mereka melakukan solat hajat dan doa selamat yang dipimpin oleh Tok Mat Salleh bin Tok Lah. Mulai hari itu, mereka pun membuka tanah dan ditanam dengan jagung dan padi huma. Apabila siap menanam padi dan jagung mereka berpakat untuk balik ke Tanjung Besar dan Jerangsang sementara itu, Tok Antah diberi kepercayaan untuk menjaga tanaman mereka. Tujuan mereka pulang ialah untuk menjemput anak isteri mereka dan antaranya isteri Tok Antah iaitu Tok Mas binti Mat Saman. Oleh kerana semasa mereka kembali ke kampung, berlaku beberapa kematian dan majlis perkahwinan menyebabkan mereka terlewat hampir dua bulan untuk kembali ke Lata Lang. Sementara Tok Antah yang keseorangan, dia memenuhkan masa lapang dengan mencari ikan yang banyak terdapat di Sungai Berau. Pada suatu petang terdengar oleh Tok Antah seperti bunyi orang berjalan di dalam air. Setelah diamati terlihat olehnya seorang lelaki yang kepalanya hampir botak dan berkata kepadanya ‘Hai Antah, tak usah risaulah, petang besok sampailah mereka ke sini’. Tepat seperti apa yang dikatakan oleh lelaki tersebut. Pada ke esokan harinya terdengarlah suara riuh rendah kaum keluarga mereka yang baru datang. Mereka membawa isteri masing-masing Tok Bugis dan isterinya Tok Seripah binti Munak, Tok Kawi – Tok Hawa binti Isa, Tok Pawang Nong – Tok Patam binti Mat Saman, Tok Mat Yassin – Tok Awi, Tok Mat Lasik – Tok samit dan Tok Mat Salleh – Tok Samik Yah juga isteri Tok Antah, Tok Mas binti Mat Saman. Oleh kerana kawasan di kuala Sungai Lipan agak sempit mereka bersetuju untuk berpindah sehingga ke Kuala Sungai Jeneris dan membuka tanah di kawasan antara Sungai Jelai dan Sungai Jeneris dan lebih dikenali sebagai Tanjung Kepayang.
 Pada hari seterusnya mereka memilih kawasan masing-masing untuk diterokai. Tok Antah memilih kawasan di Kuala Sungai Berau, Tok Wok dan Tok Bugis dari Sungai terap ke Sungai Jelai. Tok Pawang Nong di sungai Jingau, Tok Mat Yassin di ulu sungai Jelai ke Sungai Rawis. Tok Mat Salleh di kampung Jeneris, Tok Mat Lasik di Tanjung Puteri dan Tok Kawi di Ulu Jeneris. Apabila tersebar berita bahawa tanah di Ulu Cheka sangat subur dan mengeluarkan hasil yang banyak maka ramailah penduduk dari kampong Tanjung Besar, Gua, Kemahang, Budu, Kampung Lalang, Mela dan Jerangsang datang untuk meneroka tanah. Mereka termasuklah Tok Bilal Abu bin Santan, adik kepada Pawang Nong, Tok Akil, Tok Akib, Tok Koteh, Tok Hijau, Tok Imam Saat, Tok Idris, Tok Man, Tok Munak, Tok Mat Sham, Tok kitan, Tok Itam, Tok kawi dan Tok Endut.
Penghijrahan penduduk dari Kampung Budu pula telah diketuai oleh Tok Bebas bin Awang dan adiknya Aki Tan bin Awang beserta sepupunya Aki Nik Man. Mereka telah meneroka dikawasan Kampung Berau bagi membuka penempatan baru. Bagi kawasan Kampung Bau pula telah diterokai oleh Aki Janil bin Mahusin dari Kampung Lalang dan diikuti oleh Aki Mamat dari Kampung Gua. Sementara dikawasan Ulu Jingau pula telah diterokai oleh Aki Mat Sham dari Kampong Budu dan Aki Akil dari Gua dan Aki Jebah sementara di kuala Jingau di terokai oleh Aki Bilal Abu Bin Santan. Bagi penempatan di Kampung Jelai ianya dimulai oleh dua beradik iaitu Aki Osman bin Munak dan Ahmad bin Munak. Di kawasan Tanjung Puteri pula telah dibuka oleh Imam Saat dan Aki Hijau bin Loah sementara bagi Aki Abdullah bin Awang telah mengambil kawasan Tepam sebagai penempatannya. Bagi pembukaan tanah di kawasan Ulu Lata dan Kampung Gol pula antara yang terlibat adalah Aki Awang bin Bugis, Aki Itam bin Petah, Aki Endut, Aki Akib, Aki Mat Said dan Aki Semaon bin Sih.
 Jika diperhatikan kebanyakkan kawasan yang diterokai oleh mereka ini adalah kawasan yang mempunyai kawasan bertanam padi yang agak luas bagi menampung ahli keluarga dan juga kawasan-kawasan yang telah ditumbuhi oleh pokok buah-buahan hutan terutamanya buah durian. Sehingga kini kawasan tersebut terus membangun dan sebahagian besarnya masih dihuni oleh anak cucu dari kalangan peneroka asal.
Kitab Ulu Cheka Sejarah Awal Pembukaan Kampung Ulu Cheka
Sumber: Kitab Ulu Cheka Sejarah dan Kecemerlangan Sempena Sambutan 100 Tahun Ulu Cheka
Terima kasih kepada Tok Empat Ulu Cheka En Nazri bin Che Husin kerana memberi pinjam kitab dan menyalin semula artikal di dalamnya untuk dipublishkan oleh www.anakulucheka.com sebagai sumber rujukan generasi akan datang.