11 November 2012

SAKIT HEMPEDU

Hempedu bertindak sebagai agen pembaur lemak yang dimakan. Cecair hempedu dihasilkan oleh hati dan disimpan sementara waktu di dalam pundi hempedu. Hempedu penting dalam proses penghadaman lemak makanan. Pundi hempedu pula bertindak sebagai tempat simpanan hempedu. Biasanya seseorang yang mengalami masalah batu hempedu mempunyai pundi hempedu yang kurang berfungsi. Pundi berkenaan tidak dapat mengecut dan mengeluarkan jus hempedu di dalamnya, mengakibatkan stasis atau jus hempedu bertakung di dalam pundi berkenaan. Hempedu yang bertakung tersebut akan menjadi lebih likat dan akhirnya boleh membentuk kristal, keadaan itu memerlukan pundi hempedu berkenaan dibuang bersama-sama dengan batu di dalamnya untuk mengelak simptom tersebut berulang. Simptom batu dalam hempedu Ditanya sama ada terdapat simptom spesifik penyakit pundi hempedu. Radang pundi hempedu penyebab utamanya adalah batu hempedu. Di antara tanda-tanda penyakit radang pundi hempedu adalah sakit perut atau senak pada bahagian sebelah kanan badan, di bawah tulang rusuk. Ia boleh merebak hingga ke belikat sebelah kanan. Kesakitan tersebut biasanya berlaku selepas pengambilan makanan berlemak yang berlebihan. Bagaimanapun, katanya, tidak semua individu yang mempunyai batu hempedu mengalami simptom-simptom tersebut malah hanya hanya segelintir sahaja yang melaluinya. Kesakitan disebabkan oleh batu hempedu. Kesakitan biliari kolik (biliary colic) yang dirasai selepas mengambil makanan berlemak disebabkan oleh pergeseran batu berkenaan dengan dinding pundi hempedu, kerana pundi hempedu akan mengecut untuk mengeluarkan jus hempedu ke dalam usus untuk menghadamkan lemak. Untuk simptom radang pundi hempedu pula, kesakitan yang dialami disebabkan bengkak pada pundi hempedu akibat pangkal pundi hempedu yang tersumbat oleh batu di dalam pundi tersebut. Kesakitan yang dialami adalah lebih teruk berbanding dengan biliari kolik. Mungkin sesekali seseorang itu mengalami senak perut selepas makan tetapi tidak berapa serius dan menjangka hanya mengalami gastrik. Dilihat dari sudut faktor pemakanan, mungkin jika seseorang itu berpantang makanan yang berlemak atau berminyak boleh mengawal daripada mengalami sakit biliari kolik. KREDIT Utusan Malaysia.29/08/2010.

24 Oktober 2012

Sejarah Awal Pembukaan Kampung Ulu Cheka

Sejarah awal pembukaan kampung bermula pada awal tahun 1880. Beberapa penduduk dari kampung Penjom, Lalang, Kg. Pagar dan Tanjung besar telah datang ke kampong ini, pada masa itu dikenali dengan panggilan Lata Lang. Ia diambil sempena nama sebuah lata yang terdapat banyak burung helang mandi disekitarnya. Mereka diketuai oleh Tok Perlom atau Tok Pandak atau nama sebenarnya Tok Mohamad bin Osman dari kampong Lalang, Kuala Lipis. Oleh kerana minat Tok Perlom ini suka menjelajah hutan dan sungai kerana mencari sumbu badak. Suatu ketika beliau mudik sungai dari Batu Balai hingga ke Lata Lang dan terus menjelajah hingga ke Sungai Pian anak sungai Kerau dan melihat tanah pamah yang luas yang amat sesuai untuk dibuat sawah padi. Beliau kembali semula ke kampungnya dan bermuafakat dengan penduduk Tanjung Besar dan Jerangsang termasuk Tok Dollah seorang pencari gading gajah dan sumbu badak bersama Tok Mat Setam, Tok Koteh dan beberapa orang lain untuk meneroka tanah di Kuala Pian. Setelah beberapa tahun tinggal di sana ternakan kerbau meraka diserang penyakit hawar menyebabkan semua ternakan mereka mati. Akhirnya mereka berpindah balik ke kampung masing-masing. Sehingga sekarang masih terdapat kesan-kesan penerokaan mereka.
 Sementara itu pencari emas selalu mudik sungai dari batu balai ke Lata Lang. kebanyakan mereka dari Kampung Mela dan Kerambit. Kebetulan pada masa itu buah-buah hutan amat menjadi. Mereka mengumpul dan memakan buah sepuas-puasnya sehingga ada diantara mereka mabuk dan muntah-muntah. Setelah dijampi tawar bisa mabuk tetapi tidak mujarab sehinggalah salah seorang dari mereka menjampi cika dan dengan izin Allah mabuk mereka telah ‘betah”, mulai saat itu mereka menamakan sungai tersebut sebagai Sungai cika. Oleh kerana peredaran masa dan loghat sebutan akhirnya Sungai Cika bertukar menjadi Sungai Cheka. Namun nama Lata Lang masih kekal hingga ke hari ini dan menjadi sebahagian dari kampung kecil di dalam Kampung Ulu Cheka.
Pada awal 1907 setelah mendapat perkenan kebawah DYMM Sultan Pahang, beberapa orang penduduk dari Tanjung Besar dan Jerangsang telah bermuafakat mencari penempatan yang baru. Seramai 7 orang mereka telah dititahkan oleh DYMM Sultan Pahang ialah Tok Bugis bin Wok, Tok Antah bin Santan, Tok Pawang Nong bin Santan, Tok Kawi bin Karim, Tok Mat Yassin bin Tok Lah, Tok Mat Lasik bin Yop dan Tok Mat Salleh bin Yaakob. Akhirnya mereka bersetuju untuk mudik ke Sungai Cheka. Mereka menempah perahu dari tukang perahu di Jeram Besu dan Kampung Pagar sebanyak tujuh buah. Setelah semua bekalan termasuk peralatan kerja disiapkan, pada awal Jun 1907 mereka menghilir Sungai Sepan lalu mudik melalui Sungai Cheka. Dalam perjalanan mereka singgah di kuala Sungai Rengat, Kuala Sungai Berau dan terus ke Kuala Sungai Lipan berhampiran Lata Jin.
Dan pada hari ahad bersamaan 07/07/1907 dengan diketuai oleh Tok Bugis mereka memulakan upacara ‘menetam’ untuk memohon restu dari Allah dan dijauhkan dari ganguan makhluk halus. Upacara tersebut dilakukan selepas masuk waktu zohor. Mereka melakukan solat hajat dan doa selamat yang dipimpin oleh Tok Mat Salleh bin Tok Lah. Mulai hari itu, mereka pun membuka tanah dan ditanam dengan jagung dan padi huma. Apabila siap menanam padi dan jagung mereka berpakat untuk balik ke Tanjung Besar dan Jerangsang sementara itu, Tok Antah diberi kepercayaan untuk menjaga tanaman mereka. Tujuan mereka pulang ialah untuk menjemput anak isteri mereka dan antaranya isteri Tok Antah iaitu Tok Mas binti Mat Saman. Oleh kerana semasa mereka kembali ke kampung, berlaku beberapa kematian dan majlis perkahwinan menyebabkan mereka terlewat hampir dua bulan untuk kembali ke Lata Lang. Sementara Tok Antah yang keseorangan, dia memenuhkan masa lapang dengan mencari ikan yang banyak terdapat di Sungai Berau. Pada suatu petang terdengar oleh Tok Antah seperti bunyi orang berjalan di dalam air. Setelah diamati terlihat olehnya seorang lelaki yang kepalanya hampir botak dan berkata kepadanya ‘Hai Antah, tak usah risaulah, petang besok sampailah mereka ke sini’. Tepat seperti apa yang dikatakan oleh lelaki tersebut. Pada ke esokan harinya terdengarlah suara riuh rendah kaum keluarga mereka yang baru datang. Mereka membawa isteri masing-masing Tok Bugis dan isterinya Tok Seripah binti Munak, Tok Kawi – Tok Hawa binti Isa, Tok Pawang Nong – Tok Patam binti Mat Saman, Tok Mat Yassin – Tok Awi, Tok Mat Lasik – Tok samit dan Tok Mat Salleh – Tok Samik Yah juga isteri Tok Antah, Tok Mas binti Mat Saman. Oleh kerana kawasan di kuala Sungai Lipan agak sempit mereka bersetuju untuk berpindah sehingga ke Kuala Sungai Jeneris dan membuka tanah di kawasan antara Sungai Jelai dan Sungai Jeneris dan lebih dikenali sebagai Tanjung Kepayang.
 Pada hari seterusnya mereka memilih kawasan masing-masing untuk diterokai. Tok Antah memilih kawasan di Kuala Sungai Berau, Tok Wok dan Tok Bugis dari Sungai terap ke Sungai Jelai. Tok Pawang Nong di sungai Jingau, Tok Mat Yassin di ulu sungai Jelai ke Sungai Rawis. Tok Mat Salleh di kampung Jeneris, Tok Mat Lasik di Tanjung Puteri dan Tok Kawi di Ulu Jeneris. Apabila tersebar berita bahawa tanah di Ulu Cheka sangat subur dan mengeluarkan hasil yang banyak maka ramailah penduduk dari kampong Tanjung Besar, Gua, Kemahang, Budu, Kampung Lalang, Mela dan Jerangsang datang untuk meneroka tanah. Mereka termasuklah Tok Bilal Abu bin Santan, adik kepada Pawang Nong, Tok Akil, Tok Akib, Tok Koteh, Tok Hijau, Tok Imam Saat, Tok Idris, Tok Man, Tok Munak, Tok Mat Sham, Tok kitan, Tok Itam, Tok kawi dan Tok Endut.
Penghijrahan penduduk dari Kampung Budu pula telah diketuai oleh Tok Bebas bin Awang dan adiknya Aki Tan bin Awang beserta sepupunya Aki Nik Man. Mereka telah meneroka dikawasan Kampung Berau bagi membuka penempatan baru. Bagi kawasan Kampung Bau pula telah diterokai oleh Aki Janil bin Mahusin dari Kampung Lalang dan diikuti oleh Aki Mamat dari Kampung Gua. Sementara dikawasan Ulu Jingau pula telah diterokai oleh Aki Mat Sham dari Kampong Budu dan Aki Akil dari Gua dan Aki Jebah sementara di kuala Jingau di terokai oleh Aki Bilal Abu Bin Santan. Bagi penempatan di Kampung Jelai ianya dimulai oleh dua beradik iaitu Aki Osman bin Munak dan Ahmad bin Munak. Di kawasan Tanjung Puteri pula telah dibuka oleh Imam Saat dan Aki Hijau bin Loah sementara bagi Aki Abdullah bin Awang telah mengambil kawasan Tepam sebagai penempatannya. Bagi pembukaan tanah di kawasan Ulu Lata dan Kampung Gol pula antara yang terlibat adalah Aki Awang bin Bugis, Aki Itam bin Petah, Aki Endut, Aki Akib, Aki Mat Said dan Aki Semaon bin Sih.
 Jika diperhatikan kebanyakkan kawasan yang diterokai oleh mereka ini adalah kawasan yang mempunyai kawasan bertanam padi yang agak luas bagi menampung ahli keluarga dan juga kawasan-kawasan yang telah ditumbuhi oleh pokok buah-buahan hutan terutamanya buah durian. Sehingga kini kawasan tersebut terus membangun dan sebahagian besarnya masih dihuni oleh anak cucu dari kalangan peneroka asal.
Kitab Ulu Cheka Sejarah Awal Pembukaan Kampung Ulu Cheka
Sumber: Kitab Ulu Cheka Sejarah dan Kecemerlangan Sempena Sambutan 100 Tahun Ulu Cheka
Terima kasih kepada Tok Empat Ulu Cheka En Nazri bin Che Husin kerana memberi pinjam kitab dan menyalin semula artikal di dalamnya untuk dipublishkan oleh www.anakulucheka.com sebagai sumber rujukan generasi akan datang.

22 Ogos 2012

Apakah itu Seksyen 114A?

 Seksyen 114 A, “Andaian Fakta dalam Penerbitan”, merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 1950. Pindaan tersebut yang diluluskan Dewan Rakyat tanpa didebatkan terlebih dahulu pada 18 April 2012 dan melalui Dewan Negara pada 9 Mei 2012. Pindaan ini belum diwartakan lagi. Seksyen 114 A, yang boleh diguna pakai dalam kes jenayah dan juga sivil, mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web, atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap bertanggungjawab menyiarkan atau mengulangsiarkan isi kandungan yang terdapat pada rangkaian, laman web atau peralatan terbabit.


Apakah tujuan asal pindaan ini diperkenalkan?

Tujuan asal pindaan ini adalah untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab ke atas penyiaran dan penyebaran bahan berunsur hasutan di internet. Bagi pihak berkuasa, proses menjejaki dan mengenal pasti individu yang terlibat dalam penyiaran atau penyebaran bahan berunsur hasutan di internet merupakan sesuatu yang sukar. Individu tersebut dengan mudah mengambil kesempatan menyembunyikan identiti mereka di internet kerana kesukaran pihak berkuasa mengawal internet yang luas dan terbuka. Penyembunyian identiti juga menggalakkan rakyat menyatakan pendapat tanpa rasa takut kepada mana-mana pihak. Selain itu, oleh sebab maklumat mudah berpindah dari satu pihak ke pihak yang lain, pihak berkuasa mengalami kesukaran untuk mengesan individu asal yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat tersebut.


Apakah kekurangan yang ada pada Seksyen 114A?

Pindaan ini jelas mengandaikan kesalahan terletak pada individu yang identitinya diguna pakai dalam penyiaran atau penyebaran maklumat berbentuk hasutan tanpa mengambil kira faktor seperti kecurian identiti dan penggodaman komputer. Kesalahan juga terletak pada pihak yang menyediakan ruangan komen pada blog, forum dan pengendali laman web walaupun maklumat tersebut disiarkan oleh pihak lain. Pelaksanaan pindaan baru ini boleh mengakibatkan pihak yang tidak terlibat menjadi mangsa. Pindaan ini juga bercanggah dengan prinsip asas keadilan yang menyatakan seseorang tidak bersalah selagi kesalahannya tidak dibuktikan. Selain itu, undang-undang yang diperkenalkan ini tidak akan dapat memerangi jenayah siber dengan berkesan kerana pindaan ini secara tidak langsung melindungi penjenayah siber dengan meletakkan kesalahan ke atas mangsa mereka yang komputer atau akaun Facebook dan Twitternya digodam.


Apakah implikasi pindaan ini terhadap individu?

Pelaksanaan Seksyen 114 A mempunyai kesan yang luas terhadap setiap pengguna internet yang meliputi pelbagai platform seperti emel dan media sosial. Pindaan ini awal-awal lagi telah meletakkan kesalahan ke atas individu yang memiliki laman web atau peralatan yang mana kenyataan atau isi kandungan berunsur hasutan tersiar. Di bawah Seksyen 114 A, individu atau organisasi yang mengendali, menyelia atau menyediakan ruang untuk forum, blog atau perkhidmatan pengehosan web adalah bertanggungjawab terhadap segala kandungan yang terdapat dalam perkhidmatan terbabit. Mereka juga bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan oleh pihak lain yang menyamar menggunakan identiti mereka di internet. Hasilnya, Seksyen ini mengancam kebebasan bersuara di internet, serta mengancam prinsip asas keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Memang agak ketara kelemahan akta ini ialah para pemilik device wifi juga akan dikenakan tindakan walaupun pemilik wifi itu tak tahu apa2 bila tindakan diambil. Mungkin selepas ni mana2 kopitiam akan memantau pengguna2 wifi mereka.

Dan sebagai pemilik device macam handphone, Ipad ke, laptop ke yang biasanya kalau nak log in akaun Facebook atau Tiwtter secara automatik, kena berwaspada kalau ada orang lain nak pinjam device2 berkenaan. Kena log out dulu semua akaun. For your safety.

Sememangnya dengan berkuatkuasanya akta ni, mendapat bantahan dari semua pengguna media elektronik, tak kira pro kerajaan mahupun pro pembangkang. Orang awam yang tak terlibat dengan dunia politik pun tak puas hati. Sebab apa? Menyekat kebebasan bersuara. Memang betul, kebebasan bersuara di media2 elektronik adalah tanpa batasan dan tak terkawal. Tapi, mana2 individu yang merasakan diri mereka difitnah, mengambil tindakan saman terhadap orang yang buat tu.

31 Ogos 2011

KG. RACHAP BUDU (DAQ): Kuala lipis bandar sedang berihat dan mengantuk

KG. RACHAP BUDU (DAQ): Kuala lipis bandar sedang berihat dan mengantuk

Sejarah perjuangan di Budu

Sejarah perjuangan di Budu

BUDU - Mukim Budu adalah sebuah mukim yang penting dalam sejarah Pahang kerana banyak peristiwa penting dalam lipatan sejarah telah berlaku bagi menguasai mukim ini.

Di mukim ini juga lahirnya Pahlawan Melayu Mat Kilau yang juga anak kepada Khatib Rasul Abdul Salam atau lebih dikenali sebagai Tok Gajah menerusi perkahwinan bersama Cik Jebah dari Batu Naga, Tualang Padang.

Keturunan ke lapan Mat Kilau, Roslizan Ahmad Mahidin berkata, perbalahan sesama sendiri antara pembesar bagi merebut Budu telah mengakibatkan Budu jatuh dengan mudah ke tangan British.

“Pihak British menyerang Budu menggunakan senjata moden dan terkini pada masa itu. Banyak nyawa orang Melayu menjadi korban iaitu dianggarkan seramai 200 orang.

“Setelah lebih seabad berlalu, banyak bukti sejarah terdapat di kawasan ini seperti Perigi Sejarah Mat Kilau, kubur pengikut Tok Gajah dan Mat Kilau serta parit dalam,” katanya kepada Sinar Harian.

Perigi Sejarah Mat Kilau

Roslizan berkata, berdasarkan fakta sejarah, Perigi Sejarah Mat Kilau digali oleh Mat Kilau yang ketika itu menjadi salah seorang pejuang kemerdekaan Tanah Melayu bersama-sama pengikutnya sekitar tahun 1890an.

Menurutnya, perigi itu digunakan sebagai sumber air bagi penduduk setempat termasuklah Mat Kilau dan ayahandanya, Tok Gajah yang juga anak jati kampung terbabit.

“Perigi ini juga terkenal ke seluruh kampung di kawasan Mukim Budu seperti Kampung Kipas, Napal, Terap, Jerening hingga menjangkau ke Chat, Tualang Padang dan Peruang.

“Selain itu, perigi terbabit telah menjadi saksi kepada kerakusan pihak British serta semangat perjuangan Mat Kilau dan pengikutnya dalam mempertahankan Mukim Budu dan daerah Lipis,” katanya.

Roslizan berkata, kawasan terbabit serta sekitarnya adalah tapak peperangan di antara Mat Kilau dengan askar Sikh di bawah pimpinan Kolonel Walker dan Hugh Clifford.

“Peristiwa berdarah itu menyebabkan Kampung Budu musnah, apabila banyak rumah penduduk dibakar serta binatang ternakan dibunuh.

“Rentetan dari penyerangan tersebut juga seluruh penduduk kampung ini telah melarikan diri ke Bukit Raya atau lebih dikenali sebagai Bukit Tacing,” katanya kepada Sinar Harian.

Roslizan berkata, walaupun pelbagai peristiwa silih berganti berlaku namun perigi ini tetap wujud sejak zaman berzaman selain turut mempunyai banyak kelebihan.

“Antara kelebihan perigi ini yang dapat dikesan ia tidak pernah kering walaupun di musim kemarau kerana terdapat lima buah mata air yang berpunca dari Bukit Gong dan Bukit Raya di dalam perigi ini.

“Selain itu, ia menjadi sumber air minuman, mandian dan kegunaan seharian bagi kanak-kanak sekolah yang berulang alik pada zaman dahulu, iaitu dari Sekolah Kebangsaan Budu ke kampung di sekitarnya,” katanya.

Sejarah Parit Dalam

Roslizan berkata, satu lagi tempat sejarah di kawasan tersebut ialah Kampung Parit Dalam yang turut dikelilingi beberapa kampung kecil seperti Kampung Napal, Empau, S�eberang Teka, Seberang Paya dan Gedung Batu.

Menurutnya, Kampung Parit Dalam mendapat namanya daripada sebuah parit yang amat dalam yang mana mengikut ceritanya setinggi pohon kelapa ataupun kedalamannya hampir 50 meter.

“Parit terbabit digali oleh Tok Gajah, Mat Kilau dan pengikut-pengikutnya ketika menghadapi peperangan dengan pihak Inggeris ketika meletusnya peperangan pada 20 Mei 1892,” katanya.

Roslizan berkata, tanggal 18 Mei 1892, Walker dan Clifford yang bertindak sebagai “Political Officer” bergerak menuju Budu dari Raub.

“Mereka ditemani oleh tiga orang Inspektor berbangsa Eropah, dua orang Jemadar dan 150 orang askar Sikh. Ketika sampai di Kampung Budu pada 20 Mei 1892, usaha telah dilakukan pihak Inggeris untuk memujuk Tok Gajah, Mat Kilau dan pengikut-pengikutnya untuk berdamai dan menyerah diri.

“Bagaimanapun, demi mempertahankan tanah air tercinta, rundingan tersebut tidak dipersetujui oleh Tok Gajah dan pengikutnya. Maka pihak Inggeris dengan kejamnya telah menyerang dan membakar Kampung Budu,” katanya.

Roslizan berkata, parit dalam yang digali oleh mereka, telah dijadikan benteng yang berupa jerangkap samar untuk mempertahankan serangan Inggeris di mana lebih separuh askar Sikh telah terbunuh di dalam parit itu.

“Memandangkan pihak Inggeris mempunyai askar yang ramai, akhirnya Tok Gajah, Mat Kilau dan pengikut-pengikutnya telah berundur ke Kampung Empau dan bertempur semula dengan Inggeris di situ.

“Akhirnya mereka terpaksa berundur hingga ke Kampung Racap, Tekeong, Chat hinggalah ke Tualang Padang. Ada antaranya mereka telah lari bersembunyi ke Bukit Raya,” katanya.
 Kutip tulisan dari En. Varhavt Abdullah ( Facebook) 31/08/2011

18 April 2011

Kuala lipis bandar sedang berihat dan mengantuk

Kuala Lipis merupakan sebuah bandar kecil di Pahang, Malaysia dengan penduduk lebih kurang  20.000 orang. Dahulukala, Kuala Lipis adalah merupakan pusat lombong emas sebelum penjajah Inggeris datang pada tahun1887. Pada tahun 1898 ia menjadi ibukota Pahang sehingga 1955Selama waktu ini, bangunan seperti Pejabat Daerah, Sekolah Clifford dan Pahang Club dibina. Rumah bukit Residen kini merupakan hotel dan muzium.

Bandar ini membangun 
dan makmur dengan ujudnya landasan kereta api pada tahun 1924. Namun,pada bulan Ogos 1955, ibu negara dialihkan ke Kuantan, dan Kuala Lipis mula menjadi sebuah bandar yang senyap dan mengantuk kerana tertinggal dari pembangunan. Bandar yang bagaikan mengantuk serta sedang berihat ini Cuba dibangunkan dengan cara terpuji dari segi keaslian dan tinggalan sejarahnya.

Tempat yang pasti menjadi lokasi perlu dilawati adalah :-

Bandar tua Kuala Lipis.
Rumah Residen Inggeris.
Pejabat Daerah Lipis.Stesen Kereta Api.
Sekolah Menengah Clifford.
Rumah Banjir.
Pahang kelab.
Lipis Zoo.
Sungai Jelai.
Muzium Warisan Lipis.
Rumah puncak bukit Bukit bius.
Dan banyak lagi ....
Bagi yang sukakan aktiviti lasak dan aktiviti perkemahan di alam semulajadi, ada beberapa lokasi yang boleh di kunjungi . Antara yang hampir dengan bandar ini adalah taman Rimba Kenong. Dari Kuala Lipis anda boleh pergi ke Kenong Rimba Park, yang berjarak sekitar 10km. Mudah untuk kesana dengan menaiki Kereta pacuan 4 roda, kereta api atau perahu. 
Dari Kuala Lipis menaiki kereta api atau kereta untuk ke Kampung Batu Sembilan, kemudian menaiki bot selama 30 minit perjalanan ke Jeti Tanjung Kiara. Dari sini boleh berjalan kaki (trekking) selama lebihkurang satu jam setengah untuk sampai ke tapak perkemahan (base camp) atau menaiki kenderaan 4X4 (4 wheel drive) selama 30 minit.
 Kegiatan yang selalu dilakukan disini adalah :- 
Melawat Gua, Meredah Hutan (Jungle Tracking) , berjalan malam, mendaki bukit dan meninjau haiwan liar serta burung.